Awal tahun ini, meida massa dan perdana melaporkan Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi tahun 2020 jatuh ke kedudukan 57 berbanding tangga 51 pada 2019. Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, daripada 180 negara, Malaysia mencatatkan skor 51 daripada 100 berbanding skor sebanyak 53 peratus pada tahun sebelumnya. Untuk meberikan perspektif kedudukan Malaysia, negara Rwanda menduduki tangga 49 dan Poland pada tangga 45 manakala antara negara yang menduduki tangga teratas dalam CPI itu ialah jiran kita, Singapura. Pada ketika itu juga, Pejabat Perdana Menteri menekankan dasar kerajaan dalam memerangi rasuah, meningkatkan tadbir urus kerajaan dan komitmen dalam meneruskan Pelan Antirasuah Nasional (NACP).
Jelas juga bahawa Indek Persepsi Rasuah (CPI) tidak menyeluruh dalam menilai tahap ketelusan dan integriti sebuah kerajaan kerana banyak sekali aspek tidak diambil kira di dalam penilaian CPI Malaysia. Sebagai contoh, penilaian dari Country Performance Assessment – Asian DEvelopment Bank, Sustainable Governance Indicators (SGI) – Bertelsmann Foundation, Country Performance and Institutional Assessment (CPIA) – World Bank dan Executive Opinion Survey – World Economic Forum (WEF) tidak diambil kira dalam pengiraan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi Malaysia.
Kita harus faham bahawa Transparency International (TI) telah pun menyatakan di laman webnya bahawa indeksnya tidak mengukur tahap sebenar rasuah dan berusaha keras untuk menjelaskan bagaimana indeks itu dibina. Organisasi tersebut menekankan bahawa ia adalah berdasarkan persepsi ahli perniagaan dan pakar negara terhadap korupsi atau integriti di negara tersebut. Sememangnya, “Indeks Persepsi Rasuah”, tidak dapat lebih jelas mengenai apa yang diukur – iaitu persepsi. Tetapi wartawan dan akademik sering memperlakukan indeks itu seolah-olah ia mengukur korupsi yang sebenar, bukannya persepsi korupsi, atau menganggap bahawa persepsi tersebut sama dengan realiti. Namun persoalannya, adakah ini satu isu? Apakah persepsi korupsi atau realiti harus diambil kira dan penting bagi negara?
Dalam satu kajian yang dilaksanakan oleh Benjamin Olken pada tahun 2009 di Massachusetts Institute of Technology (MIT), beliau dapati bahawa jurang persepsi dan realiti yang besar mampu menekan penguasa dan pemimpin untuk lebih fokus ke arah membasmi korupsi dan seterusnya memahamkan kepada rakyat bahawa keadilan, ketelusan dan integriti itu terpelihara. Skor rendah negara pada indeks tahun ini menarik perhatian media dan para pendukung reformasi institusi. Secara langsung, ia memberikan tekanan yang luar biasa kepada pembuat dasar untuk bertindak.
Integriti adalah kepatuhan seseorang terhadap prinsip moral dan etika. Ia adalah kualiti seseorang yang bersikap jujur dan mempunyai prinsip moral yang kuat. Orang yang berintegriti jujur dan boleh dipercayai. Berdasarkan takrifan itu sendiri, integriti adalah persepsi orang terhadap kejujuran seseorang itu.
Persepsi Rasuah dalam entiti politik samada ahli parlimen kerajaan atau pembangkang, lantikan politik dan seumpamanya akan menyumbang kepada demokrasi yang gagal. Kita faham persepsi adalah bagaimana kita menafsirkan maklumat yang masuk ke dalam fikiran kita mengenai orang, objek, atau peristiwa yang berdasarkan makna dan pemahaman dalam konteks keseluruhan. Di Malaysia, sekiranya ahli politik yang terbabit dalam skandal korupsi terus diangkat sebagai pemimpin, sudah pasti persepsi korupsi akan kekal – walaupun Mahkamah mendapati mereka tidak bersalah. Selagimana ada pembangkang, isu itu akan dimainkan dan selagi mana ada penyokong, isu itu akan dipertahankan. Hasilnya, perdebatan berterusan dan nama baik negara dipersada dunia terus merudum dan ukuran kita di mata dunia hanyalah negara demokrasi yang gagal.
Melihat kepada Ahli Politik hanyalah satu aspek. Terdapat satu lagi aspek yang harus kita lihat. Nilai integriti diri kita. Persoalan yang harus kita tanya diri kita adalah standard apakah yang mahu kita lihat pada pemimpin? Sikit-sikit ambil tidak mengapa, jangan ambil banyak-banyak? Satu atau dua kes tidak apa, janji kita bersatu? Banyak kes pun tidak mengapa, janji pihak lain tidak berkuasa? Persoalan-persoalan ini adalah penting kerana Indeks Persepsi Rasuah (CPI) juga mengambilkira Bribe Payers Survey – Transparency International.
Menurut sebuah kajian yang dilaksanakan oleh Global Corruption Barometer 2017, Transparency International, GIACC, apabila ditanya “Pernahkah anda memberi rasuah kepada pegawai** dalam tahun kebelakang ini?”, dua puluh tiga peratus (23%) rakyat Malaysia menjawab “Ya”. Bermakna bahawa hampir satu perempat rakyat Malaysia berpotensi terlibat dalam rasuah. Ini meletakkan tanda aras integriti masyarakat umum yang secara tidak langsung mempengaruhi pemilihan pemimpin negara.
Dalam sebuah kajian yang lain, apabila ditanya “Pegawai yang paling terlibat dengan rasuah berdasarkan peratusan responden”, kita dapati Pegawai Polis menduduki tangga teratas dengan 57% dan Pemungut Hasil di tangga kedua dengan 48%. Mereka bukan ahli politik mahupun pembuat dasar negara. Mereka adalah rakyat Malaysia sebagaimana penulis dan anda.
Implikasi korupsi, samada dikalangan rakyat yang sudi memberi ataupun yang sudi menerima, telah mengakibatkan sebanyak RM1.8 trillion telah kehilangan melalui aliran Kewangan tidak sah antara 2005 sehingga 2019. Untuk menghadapi perkara ini, kerajaan telah memperkenalkan Pelan Integriti Nasional (PIN) pada tahun 2004, Program Transformasi Kerajaan (GTP) 1.0 pada tahun 2010, Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 pada tahun 2012 dan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dari tahun 2019 sehingga tahun 2023. Pelbagai program lain dan agenda pemerkasaan institusi juga telah dilaksanakan.
Namun, negara kita tidak mampu mengorak langkah keluar dari kemelut korupsi sekiranya kita tidak meletakkan tanda aras integrity bagi diri kita sendiri, diikuti tanda aras yang lebih tinggi bagi kelompok pimpinan negara. Singapura yang tidak mempunyai sumber jauh ke hadapan kerana nilai integrity yang mampan dan teguh. Tidakkah kita mahu menjadi negara yang gemilang?