Pembangunan Modal Insan Siri 4

Sebagaimana yang dibicarakan di dalam siri yang lepas, pembangunan di dalam Islam berpaksikan kepada “worldview” yang didasari dengan kalimah “La Ilaha Illallah”. Oleh itu, pembangunan di dalam Islam adalah satu pendekatan yang menyeluruh dan bersepadu bagi segenap aspek kehidupan samada politik, ekonomi, pendidikan, pentadbiran dan sebagainya.

Disebabkan dasar “worldview” tersebut, maka watak terpenting di dalam pembangunan menurut Islam adalah manusia kerana manusia berperanan menggerakkan ke arah mana dan bagaimana sesebuah pembangunan dilaksanakan. Ini berlainan dengan pembangunan menurut barat yang menekankan sistem sebagai penggerak manakala manusia sebagai pemain di dalam sistem tersebut.

Sebagai contoh, di dalam sistem politik barat, sistem imbang-balas (check and balances) diutamakan bagi mengawal pentadbiran dan perjalanan politik sesebuah negara dan manusia hanyalah pemain di dalam sistem tersebut. Maka, “end game” pembangunan tersebut hanyalah untung rugi dari pelaksanaan tersebut. Menurut Islam pula, manusia itu sendiri mempunyai peranan imbang-balas internal terhadap perkiraan dosa dan pahala dan menetapkan sistem berdasarkan tanggungjawab tersebut demi kejayaan di dunia dan juga di akhirat bagi individu-individu yang terlibat di dalam pentadbiran atau sistem politik tersebut.

Jelas sekali, fungsi utama Islam adalah memimpin pembangunan manusia mengikut garis panduan yang betul dank e arah yang sebaik-baiknya. Aspek pembangunan insan menurut Islam diwarnai dan dipengaruhi oleh nilai, norma dan hokum yang terbina atas kesedaran hubungan manusia dengan tuhan.

Tapi jangan terkeliru, aspek agama ini bukannya bersifat “co-existence” seperti nilai agama sampingan kepada rasionalisme.

Pembangunan modal insan menurut Islam memerlukan “worldview”, dasar, sikap, cara berfikir dan cara menilai. Kejayaannya bergantung pada insan yang dapat menyatukan ilmu dan akhlak yang mulia, akal dan hati, fikir dan zikir, kemahiran dan etika serta kerja dan ibadat dalam kehidupan seharian mereka.

Secara rumusannya, membangunkan modal insan menurut kaca mata Islam adalah membangunkan hati dan aqal yang mempunyai “worldview” yang selaras dengan wahyu.

Bersambung…

 

Pembangunan Modal Insan Siri 3

Berkesinambungan dari penulisan yang lalu, timbul persoalan apakah pembangunan modal insan yang dikehendaki Islam. Pada dasarnya, pembangunan modal insan di dalam Islam meletakkan tauhid sebagai paksi dan asasnya. Dalam Islam, kalimah tauhid (La Ilaha Illallah) mengandungi makna yang cukup tinggi dan mendalam serta mengingatkan manusia kedudukan mereka di dunia ini. Salah satu aspek utama pengertian kalimah ini adalah pembangunan tamadun Islam yang meletakkan ilmu pengetahuan sebagai asas dalam kehidupan masyarakat.

Oleh kerana kalimah ini menjadi asas pembangunan tamadun, maka asas “world view” atau pandangan muslim terhadap dunia dan isinya adalah berpaksikan wahyu dari Allah swt dan RasulNya. Sehubungan itu, pencerapan idea-idea dan ilmu-ilmu dari pelbagai tamadun seperti Greek, India dan Parsi berlaku dengan mudah kerana penapisan ilmu tersebut dilakukan berdasarkan ilmu wahyu ini. Kerana hakikat inilah, kita melihat keharmonian di antara Islam dan sains.

Sekiranya diamati, kita melihat ketamadunan manusia dari sebelum zaman bertulis sehingga ke zaman moden berkehendak terhadap “supernatural” atau keagamaan. Samada manusia purba mahupun manusia di zaman industry 4.0, fitrah manusia sangat cenderung terhadap agama dan kewujudan tuhan. Ini adalah satu aspek yang tidak dapat dinafikan, dan Islam tidak menafikan perkara ini.

Kepercayaan kepada tuhan atau agama tersebut mendorong manusia membina peradaban, tamadun dan masyarakat. Oleh itu, aspek kerohanian iaitu hubungan Allah swt dengan manusia menentukan hubungan social seseorang individu dengan individu yang lain. Berasaskan konsep inilah, pembangunan modal insan di dalam islam bersifat menyeluruh, merangkumi urusan dunia dan akhirat.

Ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. di dalam Surah Ali Imran, ayat 112:

“Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintah-perintahNya), dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa mencerobohi (hukum-hukum Allah).”

Pada hari ini, kita melihat remaja, anak muda dan juga orang dewasa yang terjebak di dalam pelbagai gejala sosial. Masyarakat Islam dibelenggu dengan kes-kes zina, penagihan dadah, bertukar pasangan dan pelbagai lagi. Perkara ini bersangkut dengan ketiadaan aspek visi akhirat di dalam jiwa yang menekankan perkiraan dosa dan pahala, serta akauntabiliti terhadap setiap tindakan.

Sekiranya perkara ini ingin ditangani, maka pembangunan modal insan yang menyeluruh perlu diambil kira. Pembangunan yang menghasilkan ikatan sosial yang kukuh dengan pegangan agama dan nilai moral yang utuh. Sekilasnya, hubungan sosial dan bermasyarakat mesti diisi dengan elemen keagamaan bagi memastikan ia benar-benar seimbang untuk keperluan rohani dan jasmani sepertimana firman Allah s.w.t di dalam Surah Ali Imran ayat 103:

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.”

Dengan tafsiran dan pendekatan sebegini terhadap pembangunan modal insan, maka Islam tidak boleh dibelenggu sekitar institusi masjid dan surau sahaja. Ia perlu merebak ke setiap aspek sosial dari pentadbiran kampung sehinggalah bernegara dan berekonomi.

bersambung…