Pembangunan Modal Insan Siri 3

Berkesinambungan dari penulisan yang lalu, timbul persoalan apakah pembangunan modal insan yang dikehendaki Islam. Pada dasarnya, pembangunan modal insan di dalam Islam meletakkan tauhid sebagai paksi dan asasnya. Dalam Islam, kalimah tauhid (La Ilaha Illallah) mengandungi makna yang cukup tinggi dan mendalam serta mengingatkan manusia kedudukan mereka di dunia ini. Salah satu aspek utama pengertian kalimah ini adalah pembangunan tamadun Islam yang meletakkan ilmu pengetahuan sebagai asas dalam kehidupan masyarakat.

Oleh kerana kalimah ini menjadi asas pembangunan tamadun, maka asas “world view” atau pandangan muslim terhadap dunia dan isinya adalah berpaksikan wahyu dari Allah swt dan RasulNya. Sehubungan itu, pencerapan idea-idea dan ilmu-ilmu dari pelbagai tamadun seperti Greek, India dan Parsi berlaku dengan mudah kerana penapisan ilmu tersebut dilakukan berdasarkan ilmu wahyu ini. Kerana hakikat inilah, kita melihat keharmonian di antara Islam dan sains.

Sekiranya diamati, kita melihat ketamadunan manusia dari sebelum zaman bertulis sehingga ke zaman moden berkehendak terhadap “supernatural” atau keagamaan. Samada manusia purba mahupun manusia di zaman industry 4.0, fitrah manusia sangat cenderung terhadap agama dan kewujudan tuhan. Ini adalah satu aspek yang tidak dapat dinafikan, dan Islam tidak menafikan perkara ini.

Kepercayaan kepada tuhan atau agama tersebut mendorong manusia membina peradaban, tamadun dan masyarakat. Oleh itu, aspek kerohanian iaitu hubungan Allah swt dengan manusia menentukan hubungan social seseorang individu dengan individu yang lain. Berasaskan konsep inilah, pembangunan modal insan di dalam islam bersifat menyeluruh, merangkumi urusan dunia dan akhirat.

Ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. di dalam Surah Ali Imran, ayat 112:

“Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintah-perintahNya), dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa mencerobohi (hukum-hukum Allah).”

Pada hari ini, kita melihat remaja, anak muda dan juga orang dewasa yang terjebak di dalam pelbagai gejala sosial. Masyarakat Islam dibelenggu dengan kes-kes zina, penagihan dadah, bertukar pasangan dan pelbagai lagi. Perkara ini bersangkut dengan ketiadaan aspek visi akhirat di dalam jiwa yang menekankan perkiraan dosa dan pahala, serta akauntabiliti terhadap setiap tindakan.

Sekiranya perkara ini ingin ditangani, maka pembangunan modal insan yang menyeluruh perlu diambil kira. Pembangunan yang menghasilkan ikatan sosial yang kukuh dengan pegangan agama dan nilai moral yang utuh. Sekilasnya, hubungan sosial dan bermasyarakat mesti diisi dengan elemen keagamaan bagi memastikan ia benar-benar seimbang untuk keperluan rohani dan jasmani sepertimana firman Allah s.w.t di dalam Surah Ali Imran ayat 103:

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.”

Dengan tafsiran dan pendekatan sebegini terhadap pembangunan modal insan, maka Islam tidak boleh dibelenggu sekitar institusi masjid dan surau sahaja. Ia perlu merebak ke setiap aspek sosial dari pentadbiran kampung sehinggalah bernegara dan berekonomi.

bersambung…

Meningkatkan Pendapatan Bahgn 1

Sekian lama usahawan mencari rezeki, bekerja siang dan malam tanpa mengenal penat dan lelah. Setelah beberapa ketika, kita lihat pendapatan kita meningkat, tetapi kita masih tidak mencapai matlamat kita atau kita masih dibelenggu kesibukan. Timbul persoalan dibenak hati samada kita berkerja untuk duit atau duit yang bekerja untuk kita.

Kebanyakan usahawan terperangkap di dalam slogan “Work hard for the Money”. Sebenarnya, slogan tersebut tidak lengkap. Slogan yang lengkap adalah “Work hard for the Money, then let the money work for you” (Berusaha untuk menjana pendapatan, kemudian biarkan duit tersebut menjana pendapatan kamu). Di sinilah timbulnya keperluan untuk seorang penasihat kewangan.

Ramai yang masih keliru berkenaan peranan seorang penasihat kewangan. Secara mudah, Penasihat Kewangan (Financial Advisor) akan mengenalpasti keperluan dan matlamat kewangan seorang usahawan, dan menghasilkan sebuah pelan kewangan yang akan usahawan gunapakai bagi mencapai matlamat dan obkjektif kewangan tadi.

Penasihat Kewangan akan memberikan khidmat nasihat dari segi pengurusan pelaburan, portfolio pelaburan yang sesuai bagi usahawan tersebut, pelan persaraan, insurans yang selayaknya dan pelbagai lagi produk dan perkhidmatan yang akan membantu usahawan mencapai matlamat kewangan mereka.

Sepanjang pengalaman saya terlibat di dalam bidang pembangunan usahawan, ketiadaan pelan pengurusan kewangan ini menyebabkan usahawan tidak mampu menyesuaikan diri kepada faktor luaran seperti ekonomi dan anjakan sosial. Hasilnya, apabila perniagaan merudum, status kewangan peribadi usahawan juga turut merudum. Dibelenggu masalah perniagaan, ditambah pula dengan masalah kewangan peribadi untuk menyara keluarga.

Sehubungan itu, saya sentiasa menasihati usahawan agar mendapatkan khidmat nasihat Penasihat Kewangan bagi memastikan kelangsungan pendapatan bagi usahawan tersebut.

Di dalam artikel seterusnya, kita akan membincangkan cara-cara memilih Penasihat Kewangan.

Kepimpinan Usahawan Yang Berkesan dan Berpengaruh Bhgn 2

Sekiranya kita amati French and Raven’s Five Forms of Power, dua daripada lima bentuk pengaruh menekankan kepada kelebihan peribadi. Dua bentuk pengaruh tersebut adalah referent power dan expert power.

Di dalam kepimpinan Islam, dua bentuk kuasa ini ditekankan melebih bentuk-bentuk kuasa yang lain. Maka usahawan harus menggunakan kelebihan peribadi untuk memimpin berbanding menggunakan kelebihan otoriti (legitimate power), kuasa menghukum (reward power) dan kuasa mengugut (coercive power).

Di dalam kepimpinan Islam, kemampuan untuk mempengaruhi dengan kelebihan peribadi dibahagikan kepada 4 kriteria yang penting:

Al-Mubadaah yang bererti inisiatif. Pemimpin adalah anggota yang banyak memberi sumbangan pemikiran ketika berdiskusi serta sentiasa memerhatikan perilaku anggota kumpulan. Interaksi ini memaparkan usahawan yang mengambil inisiatif untuk bersifat prihatin yang mampu menjalin hubungan yang akrab dan ikhlas.

Al-Qiyadah bererti berjiwa pemimpin. Usahawan tersebut mampu menentukan peranan individu dan ahli kumpulan. Dia memimpin pekerjaan, boleh membuat keputusan dan mampu memberi pendapat. Kemampuan untuk mendelegasi kerja adalah sebuah isyarat yang jelas bahawa pemimpin tersebut menaruh kepercayaan dan keyakinan terhadap pekerja tersebut. Namun, sebagaimana yang disebut, usahawan mesti memahirkan diri di dalam menentukan peranan yang sewajarnya dan selayaknya bagi setiap ahli kumpulan.

At-Taqdir bererti penghargaan. Pemimpin atau Usahawan seharusnya memahami jerit perih pekerja. Sikap penerimaan, penolakan, kritikan dan penghargaan dilaksanakan dengan penuh berhemah dan berakhlak mulia. Pokok penghargaan atau kritikan yang disampaikan adalah keikhlasan dan ketelusan. Sekiranya ini tidak dapat dizahirkan, maka at-Taqdir sukar dicapai.

As-Siqah bererti rasa percaya. Di dalam artikel yang lepas, penulis ada menyebut berkenaan kepentingan visi dan misi. Selaras dengan itu, As-Siqah membawa maksud bahawa pemimpin tidak bermatlamat memenuhi kepentingan peribadi. Dia menyebarkan kasih sayang dan harmonis antara anggota serta menyatukan kepentingan individu dan ahli kumpulan ke arah matlamat yang sama – iaitu mencapai visi dan misi syarikat.

Maka pemimpin yang dapat menzahirkan kesemua sifat ini dapat mempengaruhi anggota untuk melaksanakan agenda-agenda yang besar dan menggarap kejayaan berorganisasi yang mantap.

Insya Allah, dalam artikel seterusnya, kita akan melihat bagaimana pemimpin bermasyarakat di dalam lingkugan ahli kumpulan.

 

 

Memilih Akauntan Dengan Bijak

Sepanjang pengalaman saya sebagai konsultan, saya telah menemui banyak kes klien PKS yang mempunyai hubungan buruk dengan akauntan mereka. Ada pelbagai sebab hubungan tersebut terjejas, tetapi semuanya berpunca diatas kegagalan ketika memilih akauntan.

Artikel ini akan memberi tumpuan kepada PKS yang bergantung kepada akauntan luar, berbanding dengan syarikat besar yang mempunyai keupayaan untuk melantik akauntan dalaman (inhouse). Walau bagaimanapun, beberapa perkara dalam artikel ini akan berguna untuk pelbagai saiz perniagaan.

Seminggu yang lepas, saya mejadi konsultan kepada sebuah syarikat PKS yang telah menunda pemfailan akaun sejak tahun 2014 dan kini di dalam proses tuntutan undang-undang di antara syarikat tersebut dan akauntannya. Seminggu sebelum itu, saya membantu pelanggan yang berhadapan dengan berbilang pembayaran tertunggak dan penalti cukai yang besar disebabkan akauntan yang tidak cekap dan bertanggungjawab.

Perkhidmatan akauntan yang baik boleh menjadi suatu aset yang tidak ternilai bagi sebuah syarikat PKS. Seorang akauntan yang mahir akan membantu anda menavigasi puluhan malah ratusan dokumentasi akaun, undang-undang cukai, dan memberikan nasihat kewangan yang anda perlukan untuk mengembangkan perniagaan anda.

Di Malaysia, di kalangan PKS, seorang akauntan hanya dipanggil sekali setahun, malangnya, untuk pemfailan laporan akaun tahunan. Tetapi pada hakikatnya, akauntan juga boleh membantu sepanjang operasi perniagaan. Mereka boleh membantu anda membuat keputusan sama ada untuk membeli atau menyewa premis anda, cara terbaik mengaturkan saham syarikat dan pemberian insentif kepada pekerja anda, penstrukturan semula liabiliti, dan pelbagai isu lain yang mempengaruhi perniagaan anda.

Terdapat dua jenis akauntan: Certified Professional Accountant (CPA) dan Akauntan Bertauliah (CA). Kedua-duanya berkelayakan dari universiti, yang mewajibkan mereka menjalankan penyelidikan dan lulus peperiksaan untuk diterima. Perbezaannya adalah bahawa mereka ditadbir oleh badan-badan perakaunan yang berasingan.

Kaedah utama memilih akauntan ialah dengan bercakap dengan rakan, kenalan dan rakan perniagaan anda. Minta cadangan dari mereka dan profesional-profesional di dalam bidang-bidang yang sama dan juga berbeza. Akauntan yang tidak mengendalikan jenis perniagaan anda juga boleh mengesyorkan akauntan yang sesuai atau sekurang-kurangnya, membantu anda di dalam membuat keputusan.

Semasa anda bercakap dengan rakan dan rakan perniagaan, yang terbaik adalah untuk mengetahui sama ada akauntan mereka menghubungi mereka sepanjang tahun, bukan hanya pada waktu tutup atau tempoh cukai. Juga, tanya apakah akauntan mereka memberi nasihat proaktif, cadangan dan jika mereka mendapat nilai maksima dari firma perakaunan tersebut. Ia pasti akan membantu jika anda juga boleh mengukur sama ada syarikat perakaunan mereka mempunyai sikap berfikir ke hadapan dan perkhidmatan yang konsisten dan boleh dipercayai.

Setelah anda memperolehi beberapa cadangan, sebelum anda melantik akauntan tersebut, anda mesti berbincang dengan akauntan tersebut. Dalam perbualan anda, anda harus mengukur pengalaman, pengetahuan, pemahaman beliau mengenai perniagaan anda dan entiti apa yang perlu difokuskan untuk mengembangkan perniagaan anda.

Berikut adalah beberapa soalan untuk menilai akauntan berpotensi anda:

Pengalaman
1. Berapa lama anda berada di dalam amalan ini?
2. Berapa banyak perniagaan seperti saya telah anda uruskan?
3. Apakah jenis kerja-kerja yang anda lakukan untuk perniagaan tersebut?
4. Adakah anda pakar dalam mana-mana bidang perakaunan?

Bayaran
1. Adakah anda mengenakan bayaran untuk perundingan awal?
2. Bagaimana anda mengenakan bayaran untuk kerja anda?
3. Bilakah saya perlu bayar?
4. Adakah anda mengenakan caj untuk perundingan telefon?

Perkhidmatan
1. Berapa kerap anda akan memberitahu saya tentang kemajuan kerja saya?
2. Adakah anda akan berunding dengan saya mengenai apa yang saya mahu lakukan?
3. Apakah dasar anda tentang panggilan balik? Berapa lama?

Sistem sokongan
1. Adakah anda mempunyai lokasi pejabat lain?
2. Berapa banyak kerja yang anda lakukan sendiri?
3. Siapa yang anda akan mewakilkan?

Ini bukan soalan yang lengkap untuk menilai seseorang akauntan, tetapi ia dapat membantu anda untuk membuat keputusan yang cukup baik. Perkara utama yang perlu diingati adalah nilai yang akan diterima oleh perniagaan anda dari perkhidmatan ini.

Pilih akauntan anda dengan bijak.

Kepimpinan Usahawan Yang Berkesan dan Berpengaruh

Di dalam siri artikel ini, saya akan mengulas beberapa kriteria penting bagi kepimpinan usahawan yang didasari konsep Islami. Diharapkan usahawan yang ingin menggarap dan melaksanakan kepimpinan Islam beroleh manfaat dari artikel ini.

Bahagian 1: Berhemat di Dalam Mewujudkan Matlamat/Visi

Pada dasarnya, seorang usahawan adalah seorang pemimpin yang memimpin, mempengaruhi anak buahnya ke arah sebuah tujuan – samada keuntungan di dunia, akhirat atau kedua-duanya. Di dalam mempengaruhi anak buah ke arah satu tujuan, maka wujudlah keperluan untuk mewujudkan sebuah visi atau matlamat.

Namun, setiap pemimpin yang ingin memimpin berdasarkan konsep Islami harus berhemat di dalam mewujudkan matlamat/visi dalam usaha untuk menyatukan fikrah anak buah. Terdapat 3 elemen penting di dalam konsep ini – Al-Kafaah, Al-Fahm, At-Tanzhim.

Elemen Kafaah ini bermaksud berkebolehan atau berkemampuan yang berterusan bagi membela anggota kumpulan, bekerja demi keutuhan kumpulan dan perjuangannya. Ini bermakna bahawa pemimpin tersebut seharusnya konsisten di dalam komitmen menangani segala isu dan permasalahan yang timbul. Beliau tidak akan meninggalkan keadaan walaupun di saat getir.

Terdapat banyak contoh di dalam Sirah Rasulullah s.a.w dan Sejarah Khulafa UR Rasyidin yang memaparkan elemen Al-Kafaah digunapakai. Antaranya, sikap Saidina Abu Bakar r.a. yang konsisten di dalam perjuangan dikala pemberontakan ketika pemerintahan beliau.

visi dan misi

Elemen Al-Fahm pula merujuk kepada mendefinisikan matlamat dan pemahaman yang tajam di dalam menentukan matlamat dan visi yang sesuai dengan perjuangan tersebut. Di sini terdapat dua perkara – visi dan pemahaman visi. Kedua-dua perkara ini membuat seorang pemimpin penuh bersemangat dan sentiasa memotivasi anak buah kerana visi yang kerap diolah dan ditiup akan menjadi pembakar semangat.

Harus diingatkan bahawa pemimpin menentukan tahap-tahap pencapaian matlamat serta menanam motivasi bagi mewujudkan visi seluruh syarikat. Kita rujuk kepada pemerintahan Saidina Umar Al Khattab r.a. yang meletakkan visi mempertahankan Hijaz dari ancaman Rom dan Parsi  sebagai contoh. Visi dan pemahaman terhadap visi tersebut dikomunikasi kepada seluruh umat sehingga rakyat yang Islam dan Bukan Islam bangkit mempertahankan kerajaan.

Elemen At-Tanzhim bererti penyusunan rencana dan strategi yang mampan. Seorang usahawan di dalam syarikatnya seharusnya mampu menentukan tugasnya dan tugas anak buah. Di dalam buku Good To Great, penulis menyatakan agar usahawan melantik anak buah yang layak, melepaskan mereka yang tidak layak dan memastikan anak buah yang layak melakukan kerja yang layak dengan kebolehannya.

Get the right people on the bus, get the wrong people off the bus, put the right people at the right seats – James Collins

Ini bermakna, seorang usahawan harus belajar dan membiasakan diri di dalam pembuatan strategi dan menyusun rencana hubungan kerja. Beliau juga harus meningkatkan penyampaian dan penerimaan informasi serta memilik pengetahuan mengenai pelbagai tugasnya.

Sebagai contoh, kita lihat strategi yang digunapakai oleh Saidini Umar Ibn Khattab r.a. Setelah kemenangan di Syria, Saidini Umar r.a. melantik Abu Ubaidah bin Jarrah r.a. sebagai Gabenor menggantikan Khalid Al Walid r.a. kerana Saidina Khalid r.a. mahir mendapatkan kemenangan di medan perang manakala Saidina Abu Ubaidah r.a. mampu mengurus setelah kemenangan tersebut.

bersambung…