Sepanjang pengalaman saya sebagai Coach bagi bisnes-bisnes besar dan usahawan-usahawan, saya boleh katakan dengan 100% keyakinan bahawa usahawan-usahawan yang berdaya saing adalah usahawan yang sentiasa mahu dicabar minda. Ini berdasarkan pengamatan saya terhadap usahawan-usahawan dan jualan yang mereka capai – walaupun mereka dari industri yang berbeza dan menghadapi cabaran ekonomi yang berbeza.
Usahawan yang mengikuti program-program anjuran kerajaan boleh dibahagikan kepada tiga.
Usahawan Pelabur Minda, Usahawan Geran dan Usahawan Selesa. Usahawan Pelabur Minda adalah usahawan yang bersungguh-sungguh berusaha untuk mendapatkan sebanyak mana ilmu yang mungkin dari jurulatih, Coach ataupun pendedahan yang diberikan oleh penyedia latihan. Ada dikalangan mereka yang mampu mencapai pertumbuhan jualan sehingga 25% dalam setahun.
Usahawan Geran pula ada usahawan yang dipilih untuk mengikuti program kerajaan. Namun, jiwa mereka dan hati mereka berada pada geran yang mengikuti program tersebut. Mereka mengikuti program tersebut, bukan untuk mencabar diri mereka, bahkan sebagai syarat untuk memuaskan kontraktor utama ataupun agensi kerajaan. Usahawan begini biasanya tidak mencatat pertumbuhan yang besar dan aktiviti mereka berkisar sekitar mendapatkan dana, geran dan pinjaman. Saya gelar mereka Geranpreneur. Usahawan sebegini sangat bergantung harap pada kerajaan.
Usahawan Selesa pula adalah usahawan yang yakin dengan kebolehan beliau. Keyakinan terhadap diri sendiri adalah sesuatu yang amat penting di dalam diri seorang usahawan. Tetapi Usahawan Selesa terlajak yakin terhadap diri sendiri sehingga keputusan-keputusan bisnes dilaksanakan diatas keyakinan diri, bukan diatas data dan fakta. Usahawan ini di dalam zon selesa dan yakin bahawa tidak ada perkara yang boleh mengganggu-gugat bisnes beliau dan tidak perkara yang tidak mampu beliau tangani. Berdasarkan pemerhatian saya, usahawan begini akan tersangkut dengan sedikit perubahan di dalam industri.
Ketiga-tiga kategori usahawan ini mempunyai keinginan yang tinggi, kemahiran yang jitu dan tabiat yang konsisten. Namun, hanya satu kategori usahawan yang mampu berdaya-saing – kategori Usahawan Pelabur Minda.
Malah, bagi bisnes saya, saya telah melantik seorang Coach untuk mencabar minda saya. Pada saya, kos seorang Coach adalah pelaburan minda untuk saya terus berdaya saing. Anda bagaimana?
© Copyright 2022 Mohd Prasad. All rights reserved.
Made by Medianetic. Powered by Training Gear.