MOHD PRASAD

Semarak Niaga: Dana Strategik Pemulihan Nasional

Semarak Niaga: Dana Strategik Pemulihan Nasional

SEJUMLAH RM40 bilion dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub, pada 21 Februari lalu bagi menjayakan inisiatif Semarak Niaga Keluarga Malaysia (Semarak Niaga). Tujuan dana mega ini mesti difahami dengan jelas serta dimanfaatkan oleh komuniti perniagaan serta perusahaan di seluruh negara. Ia adalah inisiatif nasional dan sebahagian daripada strategi Bajet 2022.

Di sini, Persatuan Institusi-Institusi Pembangunan Kewangan Malaysia (ADFIM) melihat Semarak Niaga adalah satu inisiatif yang super penting berimpak tinggi. Dana mega dan strategik ini untuk membantu menyelamatkan terutama Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), seterusnya memacu pertumbuhan sektor perniagaan atau perusahaan masing-masing. Rata-rata mereka rentan dibadai pandemik COVID-19 sejak Mac 2020 lalu. Pihak berkuasa menganggarkan sektor itu mengalami kerugian RM40.7 bilion. Ini adalah kerugian terbesar PMKS setakat ini dan tidak boleh dibiarkan berlarutan sehingga meruntuhkan ekonomi negara.

Apabila program Semarak Niaga diangkat sebagai strategi Bajet 2022, seluruh komunti peniagaan dan perusahaan perlu menyokong sekali gus menjayakan program ini bagi mencapai matlamat yang sangat sarat dengan kepentingan strategik nasional.

Memang ini bukan dana pembiayaan peribadi. Tetapi dana ini diwujudkan demi kepentingan nasional khususnya bagi membangkitkan semula dan memacu pemulihan sektor PMKS serta informal iaitu peniaga-peniaga kecil yang ditawarkan termasuk pembiayaan dengan kadar faedah sifar peratus.

Teori strategi ini dalam Bajet 2022 adalah jelas. Apabila sektor PMKS pulih maka lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan. Ini akan membantu rakyat yang terjejas dan tertekan termasuk lebih 140,000 orang yang hilang pekerjaan selepas perniagaan atau perusahaan ditutup akibat COVID-19, untuk bangkit semula.

Apabila rakyat bekerja dan bergaji, proses pemulihan sosioekonomi mereka akan berlaku. Kuasa beli mereka akan mulai pulih. Perbelanjaan mereka akan menggerakkan kitaran pelbagai kegiatan ekonomi. Pada masa sama, paras kesejahteraan hidup keluarga akan  mulai meningkat dan stabil. Inilah kesan kepada rakyat apabila pemain sektor PMKS memanfaatkan dana Semarak Niaga.

Hakikatnya, sektor PMKS adalah antara penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan eksport negara. Berikutan potensi dan prestasinya yang sentiasa tumbuh lebih tinggi sejak 15 tahun lalu berbanding sektor lain maka sektor PMKS mesti dipulihkan dan seterusnya ditingkatkan.

Lebih jauh dari itu, kelebihan komuniti sektor PMKS yang menyertai pembiayaan Semarak Niaga  adalah merealisasikan usaha untuk menaiktaraf dan memacu pertumbuhan PMKS masing-masing kepada perniagaan atau perusahaan lebih besar. Ini akan membolehkan produk atau perkhidmatan mereka berupaya memasuki pasaran lebih jauh dan lebih besar. Ini termasuk membawa potensi perniagaan mereka ke pasaran serantau, antarabangsa mahupun global.

Kemuncaknya, pelaksanaan program Semarak Niaga ini memberi kesan kepada inisiatif pemulihan sosioekonomi negara pasca COVID-19.

Justeru, komuniti sektor PMKS disaran datang ke mana-mana cawangan daripada institusi kewangan dan pembiayaan di bawah ADFIM di seluruh negara. Ini kerana sebahagian dana Semarak Niaga disalurkan menerusi ahli ADFIM iaitu Bank Simpanan Nasional (BSN) SME Bank, Bank Rakyat, Agrobank, MARA, Perbadanan Usahawan Nasional (PUNB), Malaysian Industrial Development Finance (MIDF) serta Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB). Mereka boleh mendapatkan nasihat dan mencari solusi dengan mengenal pasti peluang pembiayaan mikro kredit serta moratorium yang boleh dimohon.

Cuma ada pihak menyarankan Bank Negara Malaysia (BNM) menambah akses pembiayaan supaya dana ini boleh dimanfaatkan secara meluas oleh lebih ramai pelanggan di seluruh negara. Saranan ini berasas dan bakal memudahkan akses dan proses untuk komunti terbabit mendapatkan pembiayaan yang ditawarkan.

Ini termasuk BNM mempertimbangkan akses pembiayaan melalui ahli ADFIM lain iaitu  Sabah Development Bank Berhad, Sabah Credit Corporation Berhad, Development Bank of Sarawak Berhad, Borneo Development Corporation (Sabah) Sdn Berhad serta Borneo Development Corporation (Sabah) Sdn Berhad.

Ahli lain adalah Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Johor Corporation (JCorp), Credit Guarantee Corporation (CGC) serta Borneo Development Corporation (Sarawak) Sdn Berhad yang rata-rata menaungi komuniti sektor PMKS masing-masing.

Justeru, pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti yang disediakan perlu dimanfaatkan tiap seorang peniaga atau usahawan PMKS. Pembiayaan ini juga membolehkan peniaga dan pengusaha membeli perkakasan serta sistem baharu mahupun sebagai modal kerja.

Untuk itu, ADFIM menyarankan tiap seorang dalam komunti terutama PMKS, organisasi serta agensi berkaitan memainkan peranan bagi menyokong dan menjayakan inisiatif ini.  Pada masa sama, organisasi terbabit termasuk persatuan peniaga kecil dan dewan perniagaan, institusi kewangan serta bank-bank komersial terlibat, perlu melakukan promosi mengenai kepentingan dan matlamat pembiayaan ini dengan lebih giat. Komitmen dan penyertaan mereka amat kritikal serta ditagih.

Jika tidak, kesannya pasti akan melambatkan kebangkitan semula sektor PMKS yang menjadi nadi ekonomi negara selain merugikan komunti itu sendiri. Kesan berantai lain, peluang pekerjaan tidak banyak dapat diwujudkan.

Turut terkesan adalah KDNK dan nilai eksport negara yang disumbangkan sektor PMKS tidak dapat ditingkatkan. Jadi, hasrat memacu kepantasan kepada keseluruhan rantaian pemulihan ekonomi dan impak daripada program Semarak Niaga ini tidak tercapai sekali gus aspirasi dan inisiatif pemulihan negara yang disasarkan dalam Bajet 2022, akan terlepas.

Semarak Niaga yang tidak dijayakan dengan sepenuhnya, juga akan menjejaskan aspirasi nasional untuk menokok sumbangan KDNK dan nilai eksport sektor PMKS masing-masing kepada 50 peratus dan 30 peratus pada 2030. Untuk rekod, angka Jabatan Perangkaan menunjukkan sumbangan sektor PMKS merosot kepada RM512.8 bilion pada 2020 berbanding RM553.5 bilion pada 2019.

Akhirnya seluruh kesan itu akan menjejaskan proses pemulihan sosioekonomi negara serta kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Oleh itu, rantai kesan negatif dan kemerosotan sektor PMKS ini mesti dihentikan. Program Semarak Niaga adalah jawapan kepada tekad kerajaan untuk melaksanakan pemulihan negara sepenuhnya.

Penulis adalah Setiausaha Agung ADFIM.

 

SHARE THIS POST

Facebook
Twitter
LinkedIn