AMALAN persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) kini menjadi kriteria penting bagi menilai pencapaian dan standard sesebuah institusi awam mahupun firma swasta. Amalan ini selari dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030 yang dirangka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2015 yang berteraskan 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk tindakan bersama semua negara bagi mencapai keamanan dan kemakmuran manusia serta planet ini.
Semua bank perdagangan dan pelaburan (industri) serta institusi kewangan pembangunan (IKP) tempatan turut dipertanggungjawabkan untuk mempraktikkan amalan ESG dalam memobilasi modal ke arah pembiayaan hijau yang mampan. Tindakan ini juga selari dengan saranan Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung penghijauan aktiviti perniagaan serta peralihan ke arah ekonomi rendah karbon dan kalis iklim. Amalan ESG turut terkait dengan kerangka kerja dan standard nasional mahupun antarabangsa termasuk International Finance Corporation (IFC) serta Kerangka Pembiayaan Pengantara dan Penilaian Impak Pelaburan BNM (VBIAF).
Ada 17 Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) bernaung di bawah Persatuan Institusi-Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM). Semua institusi ini turut dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk menggerakkan modal ke arah menjayakan pembiayaan mampan yang mengambilkira factor ESG. Untuk membantu institusi kewangan pembangunan memainkan peranan itu, ADFIM dalam tempoh setahun ini menjadi penyokong kuat kepada pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan. Ini dizahirkan apabila giat mempromosikan pembiayaan hijau termasuk mengatur tiga sesi forum antarabangsa melibatkan pemain tempatan untuk menimba ilmu dan pengalaman dengan panel pakar perbankan pelbagai negara dalam pembiayaan mampan serta trend baharu pembiayaan mampan yang dijangka muncul pada masa akan datang.
ADFIM juga komited untuk terus terlibat dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk kementerian berkaitan dalam memperjuangkan agenda itu khususnya pembiayaan mampan. Menurut Pengerusi ADFIM, Izwan Zainuddin, pandemik COVID-19 telah mendorong kerajaan, perniagaan dan pelabur bingkas supaya menjadikan ESG sebagai fokus selain mendorong semua pihak berkepentingan melakukan pemulihan yang mampan. Dalam kes ini, ia menunjukkan betapa pentingnya IKP menyediakan pakej pembiayaan mampan di negara ini.
Beliau berkata, pembiayaan ini memberi peluang kepada pemain global untuk fokus semula kepada manfaat kemampanan dan pelaburan yang bertanggungjawab. Sementara syarikat bergerak melalui fasa pemulihan, mereka juga perlu melihat realiti baharu, di mana penyampaian kewangan yang mampan akan menjadi sangat penting.
“Jadi, tepat pada masanya bagi ahli ADFIM menyusun semula skim pembiayaan masing-masing yang merangkumi pulangan bukan sahaja dalam kewangan, tetapi juga mengenai amalan ESG,” kata Izwan pada sesi webinar bertajuk – Sustainable Financing: Sharing Experiences anjuran ADFIM yang disertai dua speaker Bank Dunia serta peneraju institusi berkaitan DFI dari Kanada, India serta Tukri, baru-baru ini.
Beliau menambah, sesi menerusi platform digital itu adalah langkah penting dalam menggerakkan sokongan luas yang diperlukan untuk menukar strategi ini menjadi satu amalan. Untuk mengembangkan pemahaman dan amalan pembiayaan mampan, ADFIM bekerjasama dengan BNM bagi merapatkan jurang mengenai dasar pembiayaan tersebut. Ahli-ahlinya juga mempunyai prioriti pada pelaksanaan dasar-dasar yang digariskan BNM mahupun kementerian termasuk tumpuan kepada pembiayaan mampan sekarang.
Institusi kewangan pembangunan yang menjadi ahli ADFIM adalah institusi yang terlibat secara langsung dalam industri kewangan pembangunan (IKP) di negara ini. Ia adalah institusi kewangan yang ditubuhkan kerajaan dengan mandat khusus untuk membangun dan menggalakkan sektor utama yang dianggap mempunyai kepentingan strategik kepada objektif sosioekonomi negara secara keseluruhan.
Kini IKP harus melihat kepada inisiatif menerapkan aspek hijau atau kemampanan sebagai satu lagi peranan yang mulai menuntut prioriti pihak pengurusan untuk dilaksanakan sebagai satu lagi tujuan peranan mahupun penubuhannya. Dengan menerapkan gagasan hijau, langkah itu akan dapat meningkatkan tujuan dan mempertajamkan fokus kepada pemain IKP tempatan untuk memacu pelaksanaan pembiayaan tersebut sekali gus mendukung ekonomi negara ke arah masa depan yang lebih baik bukan sahaja pertumbuhan ekonomi malah memanfaatkan kemampanan ESG untuk generasi akan datang.
Justeru, perkara asas yang harus dilihat ialah perkara yang di bawah bidang kuasa BNM iaitu IKP yang ditadbir mengikut Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (AIKP 2002) serta IKP yang ditubuhkan oleh kementerian sebagai jentera untuk mencapai objektif sosioekonomi tertentu yang termaktub dalam dasar tertentu. Banyak perkara perlu disemak seperti aspek percukaian dan jenis perbekalan atau produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.
Dalam tindakan lain, IKP di negara ini perlu berani memperkenalkan produk kewangan mampan seperti dilakukan institusi sama di India. Antaranya, bon hijau, pembiayaan bercampur (blend finance), bon biru, bon impak sosial, pinjaman berkaitan kemampanan, sukuk hijau, sekuriti yang disokong aset hijau (green ABS) dan produk peruncitan hijau. Apatah lagi, Pengasas dan Rakan Pengurus auctusESG India, Namita Vikas mengunjurkan peluang dan potensi pembiayaan modal yang sangat besar diperlukan oleh ekonomi serta industri Asia Tenggara sehingga 2030. Ini termasuk pelaburan hijau yang dianggarkan AS$3 trilion bagi tempoh 2016-2020 di kalangan negara ASEAN.
Jadi, jika produk-produk hijau ini dapat ditawarkan dengan disokong modal yang besar, tidak mustahil Malaysia mampu menjadi pemain utama pembiayaan hijau di rantau ini. Perkara ini dapat dicapai sekiranya IKP dapat menyediakan pakej pembiayaan yang fleksibel dan pada masa sama pihak institusi itu mampu meyakinkan kepada pelanggan untuk mengapliklasi produk tersebut. Lagipun PBB pasti akan terus ‘memberi penekanan dan menekan’ kepada pencapaian Agenda Pembangunan Mampan 2030 memandangkan isu hijau atau kemampanan yang melibatkan penduduk global serta persekitaran planet ini semakin kritikal walaupun ada langkah-langkah tertentu telah dilaksanakan untuk menstabilkan 17 matlamat SDG seperti yang ditetapkan.
Bank Dunia juga menetapkan matlamat supaya setiap negara memanfaatkan IKP untuk menggerakkan modal (swasta) ke arah kewangan hijau serta mengagihkan semula modal IKP untuk merapatkan jurang pembiayaan untuk iklim negara dan objektif persekitaran. Walaupun berukuran kecil jika dibandingkan bank komersial dan pelaburan, IKP masih dapat memberikan impak besar kepada pembangunan dan infrastruktur negara serta rancangan dan dasar kerajaan yang berkaitan dengan iklim kerana kedudukannya yang sangat hampir dengan kerajaan selain kepentingannya sebagai ‘countercyclical’.
Selain itu, kerajaan boleh menyesuaikan IKP yang sedia ada untuk meningkatkan dan mengarusperdanakan pembiayaan mampan dalam operasi mereka tanpa keperluan pihak kerajaan mewujudkan entiti baharu bagi melaksanakan peranan tersebut. Kerajaan juga harus memberikan modal yang sewajarnya kepada IKP bagi mencapai matlamat yang telah kerajaan tandatangani di Paris pada tahun 2015.
Di Malaysia, kemunculan isu-isu berkaitan krisis bekalan air, pencemaran udara, pencemaran sumber bekalan air dan sistem pengairan serta pencemaran alam sekitar serta tadbir urus berkaitan semua itu tersebut perlu ditangani segera secara bijak dan berstrategi. Dalam melangkah ke arah itu, IKP pasti berdepan dengan liku-liku cabaran seperti kaedah mengukur impak serta objektifnya sebagai mandat, kurangnya strategi yang dapat dilaksanakan, serta mencari titik harmoni untuk bekerjasama dengan sektor swasta.
Model yang boleh dicontohi dibentangkan oleh Coskun Kanberoglu dari Development Investment Bank of Turkey. IKP tersebut menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Mampan yang bukan sahaja bertujuan menghasilkan produk pembiayaan mampan, tetapi juga bertujuan menjadikan operasi IKP tersebut mampan dan hijau.
Secara ringkas boleh dirumuskan bahawa kerajaan perlu melakukan semakan serta penyesuaian baharu bagi mandat serta aspirasi IKP yang sedia bagi membolehkannya memainkan peranan baharu. Ketika mana semua pihak terus bergelut dengan cabaran ekonomi yang getir, IKP dan kerajaan perlu merebut peluang bagi menyediakan pakej produk pembiayaan mampan demi menjamin sosioekonomi dan alam sekitar pada masa depan. Inilah masa yang sesuai untuk melaksanakan perubahan.
Penulis……
Tamat.