MOHD PRASAD

Menjamin Kelangsungan Keusahawanan Negara

Menjamin Kelangsungan Keusahawanan Negara

KITA telah memasuki fasa pemulihan ekonomi negara. Pelbagai pihak bekerjasama dengan kerajaan untuk menilai pelan sokongan yang terbaik untuk memulihkan ekonomi negara, lebih-lebih lagi dasar pembangunan lima tahun negara itu Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) baru dibentangkan dan akan disusuli dengan pembentangan Belanjawan Negara 2022, bulan ini. Dalam membina kerangka yang mendasari pertumbuhan usahawan di negara ini, kita harus melihat situasi yang lepas, ketika ini dan akan datang – usahawan sedia ada, usahawan baharu serta usahawan akan datang.

Ketika pandemik ini, ramai usahawan sedia ada terjejas dan gagal dalam pembayaran semula pembiayaan (walaupun mendapat moratorium) dan mengakibatkan mereka menerima rekod Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) atau Credit Tip-Off Services (CTOS) yang tidak memuaskan. Kesannya, mereka tidak mampu lagi memohon bagi memperoleh pembiayaan bagi memulih dan mengembangkan perniagaan. Walaupun ada agensi seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang memberikan khidmat nasihat dan penstrukturan semula kewangan, usahawan terlibat masih tidak mendapat pembiayaan baharu disebabkan rekod tersebut.

Laporan kredit seperti CCRIS dan CTOS digunakan untuk memberi keyakinan kepada pihak bank bagi menilai kemampuan dan pengurusan kewangan pelanggan yang berdisiplin. Laporan tersebut juga digunakan bagi tujuan pemarkahan kredit pelanggan. Ia juga merupakan satu panduan yang digunakan institusi kewangan untuk memastikan peminjam tidak mempunyai masalah dengan institusi kewangan lain dan mengamalkan pembiayaan berhemah. CTOS dan CCRIS juga membantu institusi kewangan mengurangkan kadar pembiayaan terjejas.

Oleh itu, kerajaan dicadang memperuntukkan dana khas bagi membantu usahawan yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Program pembiayaan ini dikhaskan kepada pemohon yang mengalami masalah CTOS dan CCRIS berdasarkan garis panduan institusi kewangan. Menerusi dana ini, institusi kewangan akan lebih fleksibel dalam penilaian CTOS dan CCRIS bagi membolehkan permohonan diberi pertimbangan ketika krisis COVID-19 berlaku.

Ia dilaksanakan bagi memudahkan permohonan pembiayaan diberi kelulusan tanpa mengambil kira isu yang membabitkan CTOS dan CCRIS, tertakluk kepada terma dan syarat. Antara pertimbangan yang diberi melibatkan golongan profesional yang mungkin menghadapi masalah CTOS dan CCRIS bermula tarikh COVID-19 pada Mac 2020. Sebagai contoh, sebelum tarikh itu, rekod kredit mereka adalah memuaskan.

Tidak cukup sekadar menyediakan peruntukan, kerajaan juga perlu memberi kelonggaran dalam pengiraan jumlah pembiayaan terjejas. Dana ini perlu diasingkan daripada jumlah keseluruhan pembiayaan terjejas institusi kewangan pada kebiasaannya supaya ia tidak memberi impak kepada pelaporan untung-rugi institusi tersebut. Dengan pendekatan ini, keutuhan institusi kewangan terjamin, usahawan mendapat pembiayaan dan keseluruhan ekonomi dapat dimangkinkan.

Bagi memudahcara usahawan yang baru memasuki alam perniagaan atau bagi menggalakkan pertumbuhan keusahawanan kecil dan sederhana (SME) baru, posisi Persatuan Institusi-Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) adalah sangat unik untuk memainkan peranan. ADFIM yang menaungi 17 ahli dari pelbagai peringkat dan semua agensi tersebut, disaran bekerjasama menyediakan perkhidmatan dengan menguruskan sebuah pusat sehenti supaya ADFIM dapat memudahkan urusan kalangan usahawan yang memerlukan bantuan dengan menyalurkan keperluan usahawan kepada agensi yang layak; memberikan penerangan berkenaan semua jenis bantuan bagi usahawan di Malaysia; serta menjadi tempat usahawan meluahkan masalah dan menyalurkannya kepada pusat bimbingan yang sesuai seperti Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Usahawan (CEDAR), Pusat Kecemerlangan Agrobank (ACE) dan sebagainya.

Disebabkan posisi ADFIM yang unik sebagai sebuah persatuan, birokrasi pengurusan dapat dikurangkan dan perkhidmatan dapat diselaraskan dengan cepat. Pusat sehenti ini akan memainkan peranan tertentu seperti menapis terlebih dahulu permohonan yang diterima daripada usahawan berdasarkan kelayakan dan keperluan bagi mengurangkan kadar penolakan (rejection) disebabkan usahawan memohon pembiayaan yang tidak layak.

Selain itu, penubuhan pusat sehenti itu untuk mengurangkan aduan usahawan tidak mendapat pembiayaan yang sewajarnya; serta menerangkan sepenuhnya maksud dan kaedah penyediaan dokumentasi yang lengkap supaya tempoh pemprosesan dan kelulusan cadalah lebih cepat. Akhirnya, pusat sehenti ini akan dapat mengurangkan kadar penutupan syarikat kerana usahawan akan lebih cepat dan mudah mendapat khidmat bimbingan, nasihat ataupun pembiayaan yang selayaknya.

Justeru, menerusi RMK-12 atau Belanjawan Negara 2022, kerajaan perlu mempertimbangkan satu peruntukan sewajatnya untuk mewujudkan sebuah pusat sehenti bagi usahawan daripada pelbagai peringkat termasuk SME golongan muda. Langkah ini akan meningkatkan inisiatif kerajaan untuk memudahkan urusan usahawan mendapatkan khidmat nasihat dan pembiayaan sewajarnya.

Pada masa sama, maklumat penting mengenai kelayakan kredit bagi SME banyak disimpan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan institusi kewangan. Bagaimanapun, maklumat yang ada tidak disimpan secara berpusat, tidak dikemaskini atau tidak dapat diakses. Ini menyebabkan proses untuk pengumpulan, penyimpanan dan analisis kelayakan kredit SME menjadi rumit selain mengambil masa lama. Kesukaran mendapatkan maklumat mengenai penyata kewangan yang diaudit, akaun pengurusan, maklumat kredit dan pembayaran juga menjadi amat rumit sekali gus menyebabkan proses di institusi kewangan agak lambat. Jadi, penubuhan pusat sehenti akan memintas semua kesulitan ini secara pantas dan efisyen.

Juga, dengan adanya pusat sehenti yang dinyatakan dan kewujudan teknologi kecerdasan buatan, maka dicadangkan supaya diwujudkan repositori digital khusus untuk SME. Ia akan menyimpan maklumat penting yang diperlukan untuk membuat penilaian kredit SME seperti maklumat dari LHDN, SSM dan institusi kewangan. Repositori digital tersebut akan menyimpan penyata kewangan yang diaudit, akaun pengurusan, maklumat pembayaran, pemilikan dan struktur syarikat, maklumat kredit, rekod perbankan dan jaminan. Repositori digital akan menyediakan akses kepada institusi kewangan untuk mempercepatkan proses pembiayaan kepada SME yang layak.

Jadi, apa sahaja bantuan untuk memulihkan SME, secara langsung sangat membantu proses memulihkan semula puluhan ribu industri kecil dan sederhana (IKS) yang banyak didokong usahawan muda. Pemulihan SME dan IKS juga mendorong mewujudkan semula ratusan ribu peluang pekerjaan termasuk kepada golongan belia, yang rentan dan kehilangan pekerjaan akibat COVID-19 seperti laporan banci ILO 2020.

Sementara itu, sebelum wabak COVID-19 pun, golongan muda sudah menghadapi kesukaran di pasaran buruh. Menurut bancian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada 2020, ketika itu mereka yang berumur 15-24 tahun, tiga kali ganda lebih ramai menganggur berbanding kelompok berumur 25 tahun dan lebih (ILO, 2020c). Apabila krisis kesihatan itu melanda global, ini melipatgandakan lagi halangan kepada belia untuk mencari kerja. Keadaan ini juga dijangka menyebabkan tempoh peralihan yang panjang bagi golongan muda dari ‘sekolah ke pasaran pekerjaan’. Mereka berisiko kehilangan pekerjaan akibat gelombang pemecatan disebabkan kemerosotan perniagaan dan penutupan syarikat permulaan (ILO, 2020b) yang turut diusahakan golongan muda.

Ketika global dilanda pandemik, 178 juta belia bekerja di sektor yang paling teruk terkesan iaitu perhotelan dan perkhidmatan makanan, perdagangan borong dan runcit, pembuatan, harta tanah serta aktiviti perniagaan lain (ILO, 2020a). Selain itu, satu daripada enam belia berumur 18-29 tahun (17.4 peratus) telah berhenti bekerja sejak awal krisis – demikian kesan dramatik COVID-19 terhadap pasaran pekerja belia di seluruh dunia.

Belia berumur 18-24 tahun juga lebih cenderung berhenti kerja. Hampir satu perempat (23.1 peratus) responden berumur 18-24 yang bekerja sebelum COVID-19, telah berhenti bekerja akibat pandemic itu berbanding 13 peratus di kalangan belia lebih tua (berumur 25-29) dan 10.6 peratus pada kohort umur 30-34 tahun. Tambahan pula, belia (berumur 18-29) lebih cenderung kehilangan pekerjaan berbanding mereka yang berumur 30-34 tahun. Penelitian yang lebih dekat menunjukkan, 40 peratus daripada belia 18-29 tahun yang berhenti bekerja, telah mendakwa kehilangan pekerjaan sebagai alasannya berbanding 29 peratus bagi mereka berumur 30-34 tahun.

Mengaitkan impak COVID-19 dengan senario di Malaysia, 63 peratus syarikat tempatan menyatakan, pandemik itu telah meninggalkan kesan negatif terhadap perniagaan mereka. Antaranya, syarikat mengalami penurunan purata pendapatan sehingga 31 peratus. Di sisi lain yang teruk, operasi lebih 30,000 syarikat ditutup sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 yang bermula pada Mac 2020.

Berdasarkan dapatan dan senario ini, sekretariat ADFIM mencadangkan supaya kepakaran pembangunan kapasiti yang terdapat di kalangan institusi pembangunan kewangan dan usahawan di negara ini digunakan untuk membangunkan usahawan kecil di bangku sekolah. Latihan teori dan praktikal keusahawanan diberi kepada pelajar tingkatan 4 dan 5 yang mempunyai pencapaian purata C dan ke bawah. Ini diharapkan dapat membantu mereka memulakan perniagaan sekiranya tidak mendapat tempat dalam program TVET atau pun pusat pengajian tinggi.

Program ini juga akan mengurangkan kadar pengangguran termasuk golongan muda dan pada masa sama, menambah bilangan usahawan kecil dan sederhana (SME) daripada kalangan sama, di negara ini. Program ini amat penting kerana wabak COVID-19 akan menjadi endemik dan kelangsungan pendapatan belia perlu ditangani awal-awal. Ini termasuk mengajar pelajar cara-cara mendapatkan pembiayaan sewajarnya pada usia muda untuk memulakan perniagaan kecil mereka. Kita menjamin bekalan usahawan masa depan.

Penulis ialah Setiausaha Agung ADFIM.

SHARE THIS POST

Facebook
Twitter
LinkedIn