MOHD PRASAD

Rakyat Tagih Kesungguhan Politik Banteras Jenayah Rasuah

Rakyat Tagih Kesungguhan Politik Banteras Jenayah Rasuah

KEBELAKANGAN ini, isu rasuah dan integriti rancak diperkatakan. Media tertentu mendokong gagasan ini dengan menggiatkan acara seperti dialog, wawancara serta diskusi secara maya. Barisan ahli panel berwibawa dan berkaitan, dilibatkan untuk berkongsi idea serta saranan. Pada masa sama, media menyiarkan komen dan membuat susulan yang tidak putus-putus mengenai dua isu itu. Media, sama ada secara solo atau dengan sokongan badan bukan kerajaan (NGO) tertentu, kini lebih berani berterus terang memperkatakan soal gejala rasuah di negara ini.

Semua ini perkembangan yang positif ke arah negara bebas rasuah dan berintegriti. Apatah lagi, pada Istiadat Pembukaan Penggal Ke-4, Parlimen Ke-14 pada 13 September 2021 lalu, Yang di-Pertuan Agong antara lain bertitah, baginda menyambut baik langkah kerajaan dalam menggalakkan amalan tadbir urus yang baik berteraskan integriti. Menerusi amalan itu, satu sistem pemerintahan dan pentadbiran yang berintegriti, telus dan cekap, akan menjadi kenyataan.

Oleh itu, titah baginda lagi, amat bertepatan bagi Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) untuk terus didokong bagi mencapai aspirasi rakyat untuk hidup dalam sebuah negara yang bebas rasuah dan berintegriti.

Selepas soal jenayah rasuah dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak khususnya Ahli Parlimen untuk memacu pelaksanaan NACP dan OACP. Kesungguhan politik akan menentukan arah, pelaksanaan dan pencapaian dasar ini. Apatah lagi, kedua-duanya adalah dasar antirasuah yang merupakan harapan rakyat supaya kerajaan meningkatkan komitmen semua pihak (terutama orang politik) dalam memerangi gejala rasuah serta memperkukuhkan ketelusan, kebertanggungjawaban mahupun integriti. Matlamat dan kebimbangan rakyat terhadap jenayah rasuah sewajarnya menjadi matlamat dan kebimbangan yang sama kepada kerajaan, ahli politik, jentera perkhidmatan awam serta warga organisasi yang tertakluk dengan NACP dan OACP.

Oleh itu, perlu ada kesungguhan dan keikhlasan semua pihak untuk melihat semua isi kandungan NACP dan OACP, kemudian segera memacu pelaksanaannya. Ini kerana, kita sudah tidak punya masa untuk mencapai objektif dasar itu sebab tempoh pelaksanaan NACP ialah 2019-2023 manakala OACP dalam tempoh 2020-2024. Bak kata Pemerhati Rasuah Malaysia (Malaysia Corruption Watch – MCW), negara telah membangunkan NACP dengan 115 inisiatif yang terbaik. Namun pelaksanaannya agak perlahan termasuk gara-gara ketidakstabilan politik dalam negara dan penularan pandemik COVID-19.

Justeru, titah Yang di-Pertuan Agung tempoh hari, wajar diberi perhatian dan dibuktikan dengan melakukan tindakan sewajarnya pada rentak atau kadar lebih pantas, ikhlas serta bersungguh. Juga, sekurang-kurangnya ada jawapan yang menyakinkan apabila wakil kerajaan akan memperkatakan sesuatu yang signifikan ketika menggulung perbahasan Titah Ucapan Yang di-Pertua Agong mengenai NACP dan OACP, menjelang penghujung persidangan Parlimen kali ini. Contohnya, kerajaan mengumumkan langkah atau komitmen menyemak semula kandungan NACP selain memasukkan elemen pembaharuan melibatkan skop-skop yang lebih ‘besar, kritikal dan penting’. Rasuah juga perlu ditekankan sebagai gejala dan jenayah (bukan disebut sebagai amalan rasuah seperti dalam NACP) kerana sekian lama jenayah ini telah menjadi endemik yang menggugat negara ini.

Dalam kedua-dua pelan itu, sudah jelas pihak mana yang diberi peranan, memikul amanah dan melunaskan tanggungjawab untuk mendorong pelaksanaannya. Manual NACP setebal 84 muka surat dan dibahagikan kepada lima bab, memang lengkap dan padu. Namun berapa ramai dari kalangan kita yang telah membaca dan mencerna aspirasi serta sanggup melaksanakannya. Selain itu, apakah yang kita rasa apabila terbaca dalam manual NACP mengenai satu kenyataan yang disorot iaitu – “Antara tahun 2005 hingga 2014, Malaysia telah kehilangan RM1.8 trilion menerusi aliran kewangan tidak sah yang mana sebahagian daripadanya berpunca daripada amalan rasuah.”

Manual NACP dan OACP juga merupakan satu pendedahan berani dan situasi sebenar rasuah di negara ini. Ia turut menyebutkan dengan jelas tujuh isu utama yang dihadapi oleh negara dalam memerangi gejala rasuah. Selepas semuanya telah dikenal pasti, maka laluan adalah terbuka untuk kerajaan bertindak tegas menjayakan dasar antirasuah ini. Komitmen membanteras jenayah ini pasti akan mendapat sokongan padu semua pihak termasuk Ahli Parlimen dan menggembirakan seluruh rakyat.

Jika dilihat kepada kronologi inisiatif membanteras jenayah rasuah dan memperkasa integriti di negara ini, ia dimulakan menerusi Pelan Integriti Nasional 2004, diikuti Program Transformasi Kerajaan (GTP) 1.0 pada 2010, disusuli Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0 pada 2012 dan terkini NACP 2019-2023. Ini satu komitmen yang konsisten daripada kerajaan terhadap usaha memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa namun pelaksanaan serta hasilnya belum boleh dibanggakan. Pencapaian Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transparency International juga terus turun naik tetapi masih terbuka luas untuk kita memperbaiki kedudukan di posisi lebih wajar dan sepatutnya, sesuai dengan cerminan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

Juga, menerusi penubuhan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang berkuatkuasa 15 Julai 2021 hingga 14 Julai 2024, rakyat mahu melihat kadar jenayah rasuah dan CPI yang diberi keutamaan oleh pelabur, mampu menjadi lebih baik. Apatah lagi JKMR dan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) baru-baru ini sepakat bekerjasama untuk menggerakkan usaha, pendekatan serta membuat anjakan paradigma baharu dalam memerangi rasuah di negara ini.

Menurut sebuah kajian di dalam Asian Economic Papers, Malaysia mencatatkan kos rasuah sebanyak RM10 Billion setiap tahun. Ini bermakna sekitar 10 peratus daripada GDP negara hilang atau tiris kerana rasuah. Manakala, dalam satu laporan Utusan Malaysia pada tahun 2011, dianggarkan RM108 bilion yang sepatutnya menjadi pendapatan negara setiap tahun, telah lesap manakala lebih RM10 bilion lagi dipindahkan secara haram ke luar negara melibatkan Jabatan Kastam DiRaja sahaja. Justeru, Malaysia perlu menangani kelemahan dan ketirisan dalam seluruh jentera kerajaannya secara serius bagi membanteras ketidakcekapan serta penyalaghunaan kuasa.

Malaysia juga boleh belajar daripada New Zealand, Denmark dan Singapura cara membina negara yang dapat membanteras jenayah rasuah serta menyuburkan integriti dan nilai murni dalam diri rakyatnya. Konsep penyuburan integritI dan pengalaman negara tersebut tersedia ada untuk dipelajari. Namun, apa yang sangat penting adalah komitmen pemimpin dan rakyat.

Dalam satu kajian World Values Survey, Malaysia mencatat defisit amanah (trust deficit) di setiap bidang industri berbanding dengan New Zealand. Memandangkan struktur badan pencegah rasuah dan integriti hampir sama dengan New Zealand, ini bermakna bahawa penekanan jati diri, integriti dan komitmen pemimpin perlu diperbaiki.

Pada 2003, CPI Malaysia berada di tangga ke-37 manakala pada 2019, kita berada di tangga ke-51 berbanding Singapura ditangga ke-4 dan Brunei ditangga ke-34. Ketara sekali, rakyat New Zealand dan Singapura menolak pemimpin yang terpalit dengan skandal korupsi. Bagaimana dengan rakyat di negara ini?

Selagi mana kita tidak ada kesungguhan dan komitmen politik diganding dengan pemimpin yang benar-benar bersih daripada jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa, selagi itu kita akan terbelenggu dalam perangkap dengan imej dan status dunia ketiga. Untuk itu, rakyat perlu memilih pemimpin yang benar-benar bersih dan berintegriti serta mendokong agenda nasional bagi membanteras jenayah rasuah itu.

Penulis ialah penceramah dan pendukung inisiatif kepemimpinan integriti nasional.

SHARE THIS POST

Facebook
Twitter
LinkedIn